Showing posts with label Kefasilitatoran. Show all posts
Showing posts with label Kefasilitatoran. Show all posts

Wednesday, March 25, 2009

Pengurusan masa

Islam sudah menggariskan kepada kita cara untuk menguruskan masa, supaya kehidupan kita sentiasa berorientasikan ketuhanan. Waktu yang kita ada dibahagikan kepada lima, pagi, tengahari, petang, awal malam, dan malam. Inilah asas pembahagian masa yang menjadi 'landmark' kalau kita mahu benar-benar menguruskan masa kita.

(Baca Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali)

Program di mata, Strategi di minda, Objektif di hati…

Setiap minggu kita turun ke sekolah untuk menyampaikan kata-kata semangat kepada adik-adik di sana. Kadang-kadang, sampai ada 2-3 program yang kita hadiri pada satu-satu minggu. Apabila ini berlaku, kita seakan sudah menjadikan program sebagai rutin. Apabila ia menjadi satu rutin, ia bergerak di bawah minda separa sedar. Kita melakukan sesuatu tanpa berfikir lagi.

Perkara yang paling penting di dalam sesuatu program ialah ‘Objektif’. Tanpa objektif, kita kecelaruan. Tanpa objektif, kita tersimpang. Objektif perlu difahami sejak saat menerima program lagi. Maka bermula dari saat itu, ia perlu sentiasa membuku di hati. Ia perlu menjadi nukleus yang membentuk tindakan kita yang teratur. Sesaat kita terlupa, pada saat itulah kita tercicir.

Objektif yang dipegang dengan kuat akan melahirkan fasilitator yang patuh dan berdisiplin. Antara objektif utama kita menjadi fasilitator ialah untuk mendapat keredhoan Allah. Oleh itu, tindakan kita akan secara automatik terpacu daripada objektif murni itu. Bagaimana pula dengan objektif-objektif lain? Ia juga akan memacu kita ke arah suatu tindakan yang dapat dijadikan ‘Dakwah Bil-haal’. Fasilitator untuk program kepimpinan yang memegang objektif program di hatinya akan melakukan tindakan yang sesuai sebagai seorang pemimpin. Ia juga akan menjadi seorang pemimpin walaupun program sudah tamat.

Apabila objektif terpancar di hati, minda perlu memikirkan strategi untuk mencapai objektif tersebut. Minda yang berstrategi akan melahirkan fasilitator yang kritis dan kreatif. Maka akan terlahirlah modul-modul yang sesuai dengan objektif. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan asimilasi antara pengalaman dan ilmu. Ummat Islam masa kini mempunyai kurang strategi dalam menyampaikan mesej Islam. Kerap kali kita ditempelak akibat daripada perkara ini. Islam bukan sahaja ditolak, malah difitnah kerana ketidak seriusan kita merencana strategi dalam tindakan kita. Kita harapkan, perkara ini tidak akan berlaku kepada kita yang bergelar fasilitator muslim ini.

Objektif umum kita dalam setiap program adalah Dakwah dan Kaderisasi. Kita perlu menyampaikan agama kita di dalam program, dan kita perlu mencari dan melatih mereka ini yang bakal menggantikan tempat kita pada masa akan datang. Tanpa objektif yang jelas sebegini, kita akan hilang arah, dan setiap kali kita melihat ke sekeliling, hanya kita sahaja yang melakukan aktiviti sebegini. Kita mula merasakan keseorangan. Inilah yang menyebabkan ramainya pejuang yang tersungkur di jalan dakwah.

Buka Mata, Buka Minda, Bukalah hati…Mudah-mudahan kita dirahmati…

Thursday, April 10, 2008

Mahasiswa sebagai Fasilitator 4

Jenis Kelompok (Buku 'Fasilitator Kelompok Kecil')

Assalamualaikum...Venekam...Ni Hao...

Hari ini saya nak berkongsi pembacaan saya tentang Jenis Kelompok Kecil ni. Dalam bidang kefasilitatoran, pemahaman macam ni penting, sama dengan perkara yang saya tulis sebelum ni. Ini kerana, jika anda faham tentang pembahagian ini, anda akan jelas tugas sebenar anda dalam bidang kefasilitatoran ini, bagaimana anda mahu bawa diri anda, dan bagaimana anda akan teruskan sesi-sesi follow-up anda, sama ada perlu anda teruskan atau perlu diserahkan kepada pihak lain.

Penerangan ini perlu dikaitkan dengan tulisan saya yang lepas.

Kelompok asas ialah Kelompok Bimbingan. Kelompok ini sama macam 'Mass', di mana ahlinya tidak terhad. Di dalam kelompok ini, perkongsian jarang berlaku, atau hanya disentuh secara 'superficial' sahaja. Kelompok ini dipimpin oleh fasilitator terlatih, ataupun kaunselor.

Kelompok kedua, Kelompok Sokongan atau Bantu Diri atau Tugas. Kumpulan ini terdiri daripada 10-20 orang ahli. Kelompok ini diharap akan dapat berkongsi masalah peribadi biasa dan berkongsi maklumat bersama. Mereka juga akan memberikan sokongan sesama sendiri. Bagaimanapun, perkongsian secara mendalam perlu dielakkan agar ahli tidak merasa dikhianati.
Ia dipimpin oleh kaunselor atau fasilitator terlatih.

Kelompok ketiga, Kelompok Kaunseling. Bilangan ahli: 6-8 orang. Perkongsian ahli kelompok ini adalah lebih mendalam kerana kukuhnya kepercayaan sesama sendiri. Matlamat kumpulan ini adalah untuk meningkatkan kesedaan dan mengatasi masalah individu. Sesi bersama kumpulan ini akan memerlukan pengendali menyatakan matlamat setiap sesi itu. Kelompok ini selalunya dikendaliken oleh kaunselor atau psikologis.

Dalam Faciteam UIAM Kuantan yang menggunapakai sistem Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), ahli kumpulan ini sekitar 6-12 orang sahaja. Ia lebih kepada percantuman matlamat Kelompok Sokongan dan Kelompok Kaunseling. Fasilitator perlu memerhatikan ahli, sama ada perlu diteruskan ke peringkat kaunseling, atau hanya berhenti di peringkat sokongan. Fasilitator boleh bertindak sebagai kaunselor, jika mampu, sebelum menyerahkannya kepada kaunselor yang layak. Tetapi, jika dikhuatiri perkara ini akan memburukkan lagi keadaan, maka sebaiknya jangan dicuba. Fasilitator perlu memberitahu kepada ahli tersebut jika masalahnya akan dirujuk kepada mana-mana kaunselor, khuatir bahawa dia akan berasa dikhianati jika dia tidak diberitahu dahulu.

Peringkat terakhir ialah Kelompok Terapi. Kelompok ini adalah lebih kecil, memandangkan masalah mereka adalah lebih spesifik dan mendalam. Bilangan yang dicadangkan ialah 4-6 orang. Matlamatnya ialah penyembuhan dan pemulihan. Biasanya, sesi kumpulan ini mengambil masa yang lama. Kumpulan ini dipimpin oleh psikiatris atau psikoterapis.

Maklumat ini berguna kepada fasilitator supaya mereka akan lebih memahami tugas mereka, dan memastikan matlamat mereka tercapai..

Selamat Berbakti!

Wednesday, April 9, 2008

Mahasiswa sebagai Fasilitator 3

Peringkat-peringkat Pemudahcara

Kalau nak dilihat, memang banyak peringkat yang dihasilkan mengikut kesesuaian organisasi-organisasi tertentu. Biarlah saya berikan pemeringkatan ini berpandukan pendapat saya sendiri.

Pembimbing Rakan Sebaya adalah yang paling asas. PRS tidak memerlukan apa-apa teknik yang kritikal. PRS hanya memerlukan teknik mendengar yang baik. Sebab itu, PRS dijadikan asas kepada sistem persekolahan sekarang. Mungkin boleh dikembangkan ke peringkat IPT selepas ini.

Fasilitator adalah peringkat kedua. Fasilitator pula boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat, bergantung kepada kumpulan sasaran itu. Ada fasilitator untuk kumpulan asas, kumpulan bermasalah, kumpulan perkongsian, dan macam-macam lagi. Ia mengikut kamampuan fasilitator itu sendiri dalam mengendalikan kumpulan terbabit. Fasilitator memerlukan kemahiran mendengar dan menguruskan kumpulan supaya kumpulan bergerak ke satu arah yang disepakati bersama. Fasilitator akan terus memimpin kumpulannya sehingga ke satu masa yang ditetapkan, contohnya sampai ke hari peperiksaan SPM.

Mentor adalah peringkat yang lebih tinggi. Mentor selalunya adalah lanjutan kepada kefasilitatoran kumpulan tertentu. Selepas mengadakan aktiviti dengan kumpulan kecil, fasilitator akan memastikan individu-individu yang paling berpotensi untuk terus menerima latihan khusus daripadanya. Bidang ini masih belum dieksploitasi oleh banyak fasilitator. Mentor ini akan terus memimpin individu tadi sampai dia berjaya dan lebih berjaya daripada mentornya. Mentor memerlukan kemahiran yang tinggi, dari segenap aspek, termasuklah peribadi yang baik, ilmu yang tinggi, dan penampilan yang meyakinkan.

Kaunselor pula memainkan peranaan apabila peserta itu mempunyai masalah spesifik yang perlu diatasi. Contohnya, jika peserta itu mempunyai masalah dengan kekasihnya, keluarganya, atau dengan dirinya sendiri. Kaunselor memerlukan sijil yang khusus. Tetapi tidak mustahil untuk memiliki teknik kaunseling yang baik apabila berhadapan dengan pelajar bermasalah. Selalunya fasilitator akan merujuk pelajar yang mempunyai masalah ke kaunselor untuk tindakan lanjut. Kaunselor akan mengendalikan kumpulan yang kecil, 2-3 orang sahaja. Dalam situasi ini, teknik mendengar dan bercakap perlulah seimbang.

Kesimpulannya, fasilitator mahasiswa perlu memainkan semua peranan di atas, selagi mampu. Oleh itu, pembacaan, pembelajaran, dan pengaplikasian ilmu perlu dibuat oleh semua organisasi fasilitator mahasiswa agara matlamat menghasilkan mahasiswa berbakti kepada masyarakat akan berjaya.

Sunday, April 6, 2008

Mahasiswa sebagai Fasilitator 2

Menjengah ke Dunia Mahasiswa

Dunia mahasiswa didefinisikan dengan cara yang pelbagai, bergantung pada individu tertentu. Bagi yang kaki buku, dunia ini hanyalah untuk mencari dan menggali buku-buku tentang pelajaran yang diambilnya sahaja. Contohnya, bagi pelajar perubatan, hari-harinya akan dihabiskan dengan membelek-belek buku anatomi, fisiologi, histologi, patologi, dan sebagainya. Tidak pernah terlintas di hatinya ingin meneroka ke alam ilmu yang lain.

Bagi mahasiswa yang kaki perempuan pula, hidupnya seharian akan dihabiskan dengan bermesej-mesej, bergayut, dan ber'dating' dengan kekasih-kekasihnya. Dunianya hanyalah dengan kekasihnya sahaja. Hidup ini amat sempit bagi golongan ini kerana dalam dunia ini hanya wujud 2-3 orang sahaja. Bagi yang selalu bersembang pula, hari-harinya akan dihabiskan dengan bersembang sahaja, hinggakan tidur malam pun lewat kerana bersembang.

Mungkinkah masa disumbangkan untuk perkara yang memberikan faedah bukan kepada seorang, malah ramai lagi melalui aktiviti kefasilitatoran?

Jika dilihatkan, memang tidak ada masa yang terluang untuk aktiviti sebegini. Semua masa yang ada hanya cukup-cukup untuk dihabiskan dengan aktiviti belajar, ulang kaji pelajaran, tidur, makan, bersembang, dan bersukan. Memang tidak wujud masa yang terluang, terutama kepada pelajar jurusan kritikal seperti perubatan.

Benar. Memang tidak wujud masa terluang. Sebaliknya mahasiswa itulah yang perlu meluangkan masa yang ada!

Teori ini senang sahaja. Cuba bayangkan satu baldi atau satu tempayan yang kosong. Di bawahnya terdapat lubang-lubang yang banyak, mengelilingi baldi atau tempayan itu. Jika diisi air ke dalam baldi atau tempayan tadi, sampai bila-bila pun ia tidak akan penuh. Cara untuk memenuhkan air ke dalam baldi tadi adalah dengan:
1) Menutup lubang-lubang tadi;
2) Mengisi air dengan secukupnya.

Aplikasi teori tadi ialah, jika tidak digunakan masa dengan betul, masa anda sentiasa tidak akan cukup untuk belajar. Masa adalah suatu anugerah yang sangat penting dan bernilai, jika kita tidak menjaganya, ia akan terus mengalir seperti air dari lubang tadi. Kawallah ia supaya ia benar-benar bernilai, barulah akan nampak masa yang banyak itu (seperti air yang bertakung).

Tidak ada sebab untuk mengatakan tidak. Hanya hati da MINDA yang menentukan berjaya atau sebaliknya.

Friday, April 4, 2008

Mahasiswa sebagai Fasilitator 1

Mahasiswa sebagai Fasilitator

Memulakan bicara, alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi memberikan peluang sekali lagi untuk meluaskan siri bakti kepada ummah ini.


Mahasiswa memainkan peranan penting dalam menyebar luaskan ajaran agama yang sebenar. Bukan itu sahaja, mahasiswa juga menjadi ajen pembaharuan kepada bangsa dan negara agar idea pembangunan dapat meresak masuk ke dalam jiwa setiap yang bernama insan. Sudah pasti, caranya berbeza berdasarkan tempat, masa, dan keadaan. Mahasiswa perlu menjadi kreatif dalam menentukan halatuju dan strategi penyampaian tersebut.


Berbicara tentang Mahasiswa dalam arena kefasilitatoran, memang banyak yang boleh dimanfaatkan oleh golongan ini. Mahasiswa adalah kumpulan elit dalam masyarakat. Apatah lagi bagi para pelajar sekolah, yang sepatutnya memandang golongan ini sebagai jagoan mereka. Mahasiswa sepatutnya menjadi model dan ikon kepada para pelajar, supaya mereka menanamkan keinginan untuk turut melangkah ke alam menara gading.


Dari aspek usia pula, mahasiswa merupakan golongan yang paling sesuai untuk menarik atau membimbing golongan pelajar menengah kerana jurang usia yang tidak jauh. Ada pepatah mengatakan, "Didiklah anak kamu untuk masa mereka." Faktor ini membantu mahasiswa menjadi golongan terbaik kerana zaman mereka sama dengan remaja yang lain. Jadi, tidak ada lagi alasan untuk menerima ajakan ke arah kebaikan.


Pada umumnya, mahasiswa perlu memahami bahawa siapapun mereka, mereka tetap bertanggungjawab membela nasib bangsa dengan melakukan sedaya yang mereka mampu. Salah satu daripadanya ialah dengan menjadi fasilitator dan menyampaikan ilmu mereka kepada pelajar menengah atau rendah, yang seterusnya akan menggantikan mereka pada masa akan datang. Kitaran mulia ini akan berterusan sampailah terbentuk suatu kumpulan manusia yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan akhirnya terbentuklah sebuah Ummah yang baik, cemerlang, gemilang, dan terbilang, juga disebutkan di dalam Al-Quran sebagai Khaira Ummah.