Saturday, August 29, 2009

Pemikiran dan Pelajar Perubatan

Kepentingan Berfikir dan Pandangan Sarwa Islami

 

Dalam kehidupan seharian, berfikir adalah perkara yang tidak dapat dielakkan walau satu detik. Jika aktiviti ini dipinggirkan, maka pada saat itu jugalah, seseorang itu sebenarnya bukan lagi layak dipanggil 'manusia'. Proses berfikir sebenarnya adalah suatu proses yang kompleks, tetapi tidak pula disedari oleh manusia kerana mereka menganggap proses yang berlaku itu sebagai rutin. Sungguh sukar untuk mengawal pemikiran jika diri sudah menganggap ia sebagai suatu proses 'automatik'. Maka perkara ini perlu diubah supaya manusia kembali berada di atas jalan yang benar.

 

Proses berfikir merupakan suatu proses yang panjang. Di dalam tulisan ini, perkara ini tidak akan dibincangkan secara mendalam, kerana bukanlah hasrat penulis untuk membincangkan proses berfikir secara terperinci. Cuma perlu diingatkan di sini, seperti yang dikatakan oleh pakar terkenal, Edward De Bono, belajar cara berfikir adalah penting untuk menguasai diri dan keadaan. Jika tidak, sudah pasti keadaan akan menguasai diri kita.

 

Di dalam Islam sendiri, Allah menekankan proses berfikir ini di dalam banyak ayat, dengan istilah-istilah yang pelbagai. Ada yang dimaksudkan 'berfikir', ada yang dimaksudkan 'berakal', dan sebagainya. Apabila disebut proses berfikir, organ yang dimaksudkan adalah 'akal'. Inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan lainnya. Justeru, apabila manusia tidak lagi mahu menggunakan akal dengan baik, atau menidakkan keupayaan akal mereka, maka sudah pasti mereka akan bertukar menjadi 'haiwan berwajah manusia'. Ia dapat dilihat dalam individu yang mengambil arak, sehinggakan menekan fungsi akal, maka mereka akan bertindak agresif dan bercirikan haiwan yang ganas.

 

Komposisi Aqal dalam Diri Insan

 

Seperti yang dibincangkan oleh banyak pemikir-pemikir dan kini, aqal ini terdiri daripada dua komponen, sama juga dengan diri manusia. Komponen tersebut ialah komponen ruhaniahnya dan jasmaniahnya. Dalam istilah falsafahnya, seperti yang diberitakan oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, komponen tersebut ialah 'Intellectus' dan 'Ratio' atau 'Reason'. Ia banyak dibincangkan kerana dengan penekanan yang berlebihan terhadap salah satu daripada komponen-komponen ini, maka akan terlahirlah insane yang tidak seimbang. Keseimbangan, atau keharmonian antara kedua-dua unsur inilah yang akan melahirkan aqal yang sihat, yang akan membawa insan ke arah jalan yang benar.

 

Intellectus adalah komponen yang digunakan dalam mendalami sesuatu yang berbentuk ruhaniah, abstrak, dan hakikat. Ia seringkali digunakan oleh pendeta dahulu kala, yang akibatnya mereka menyisihkan diri dari keduniaan yang zahiriah. Kebergantungan melampau terhadap Intellectus akhirnya membawa kepada kesesatan, kerana mereka akan hanyut dalam kekhayalan. Inilah yang berlaku dalam ketamadunan Yunani pada zaman Yunani Purbakala, yang mengkhayalkan bahawa alam dipenuhi dengan dewa-dewi.

 

Manakala Ratio pula digunakan untuk menafsiri alam fizikal dengan menggunakan pancaindera yang lima. Ia digunakan untuk menguasai alam tabii (fizikal). Dengan menggunakan Ratio secara berlebihan, maka tamadun Barat membina kepercayaan yang pelbagai, bermula daripada pengasingan agama dan kehidupan (sekularisme), dan akhirnya wujud fahaman Rationalisme dan falsafah sains moden. Penekanan terhadap Ratio yang melampau, akhirnya menghasilkan pensekularan dunia pada masa kini, manakala umat Islam menjadikan Barat sebagai contoh rujukan mereka.

 

Kepentingan Memahami Asas Pemikiran

Seperti yang dinyatakan di atas, memahami komponen aqal ini akan melahirkan insan yang memahami aliran pemikiran dunia. Setiap insan melakukan apa yang dilakukan berdasarkan apa yang difikirkannya. Jika salah cara berfikirnya, maka sudah pasti salahlah apa yang dilakukannya. Ia jelas dinyatakan di dalam hadith masyhur berkenaan dengan niat.

 

Sebagai contoh, jika seseorang terpengaruh dengan cara pemikiran Ratio yang terlampau, maka mereka akan mentafsirkan dunia berdasarkan alam fizikal atau material semata-mata. Jika ini berlaku, maka niat mereka akan bercampur-baur antara duniawi dan ukhrawi. Sampai suatu masa, mereka akan memikirkan, apalah sebenarnya yang mereka cari di atas dunia ini. Sedangkan dunia hanyalah perhiasan yang tidak kekal dan akhirat sahajalah yang kekal.

 

Berfikir adalah proses spontan, tetapi dicorakkan oleh suatu kerangka yang dibentuk berdasarkan pemahaman seseorang itu. Saintis, secara kebetulannya, banyak terjerumus dengan cara pemikiran Ratio yang meletakkan asas ilmu hanya pada deria yang mampu merasa. Jika tidak dapat dialami oleh deria-deria yang terbatas ini, maka bagi mereka, ia bukanlah suatu ilmu. Ini adalah penggunaan Ratio yang melampau, dan ternyata salah. Sedangkan Islam adalah agama yang asasnya ialah 'abstrak', tetapi ia juga suatu agama yang 'konkrit' (reason-bound).

 

Kedatangan ilmu atau maklumat bukanlah bersifat neutral, seperti yang dipercayai oleh ramai orang. Ilmu atau maklumat yang datang adalah berpaut pada pengolah atau penyampai ilmu tersebut. Jika mereka terpengaruh dengan kebendaan, maka ilmu tersebut juga akan terpengaruh dengan kebendaan. Itulah yang dikhuatirkan apabila berlakunya proses globalisasi. Kita pula dilambakkan oleh pelbagai ideologi dan ilmu dari Barat, yang secara umumnya dipengaruhi pemikiran materialistik.

 

Asas Pandangan Sarwa Islami (Tasawwur Islami, Islamic Worldview)

Setelah memahami proses yang wujud dalam menghasilkan sesuatu pemikiran atau kebudayaan (secara ringkasnya), maka perlu difahami bahawa sesungguhnya amat penting bagi Umat Islam memahami keperluan membetulkan cara mereka berfikir. Cara berfikir yang betul akan melahirkan suatu evolusi ke atas tindakan dan kebudayaan sesuatu kaum. Maka asas kepada cara pemikiran inilah yang disebut Pandangan Alam Islami ataupun Islamic Worldview.

 

Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Pandangan Alam bermaksud pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan dan kebenaran yang terlihat oleh alam fizikal. Maka, tidak dapat tidak, petunjuk Qurani amat diperlukan dalam menyantuni maksud ini. Setiap yang dilihat atau didengar, atau dirasa, atau dihidu, atau disentuh, akan diselarikan dengan apa yang ditentukan olah Allah. Ia akan membawa manusia kepada agama atau pemahaman yang tulus dan murni.

 

Maksud yang dinyatakan di atas tidak akan tercapai jika pemikiran insan tidak dibersihkan daripada anasir-anasir yang tidak benar. Hanya apabila perkara ini tercapai, insan akan kembali kepada fitrah. Dan apabila aqal menjadi sahih, ia akan layak memikul amanah atau teklifan sebagai penterjemah kepada agama yang sebenar.

 

Kepentingan Terhadap Pelajar Perubatan UIAM

Sesungguhnya, perkara ini sudah lama dijalankan oleh universiti kita ini. Proses desekularisasi adalah suatu proses memurnikan pemikiran pelajar daripada terpengaruh dengan pelbagai pemikiran yang terpesong. Maka para pelajar perlu memahami mengapakah proses ini berlaku dan bagaimanakah untuk menaggapinya.

 

Sumber ilmu yang diperolehi kita adalah daripada Barat. Sesungguhnya, ia bukanlah suatu yang neutral keseluruhannya, tetapi perlu ditanggapi oleh kita semua dengan baik. Perlu menjadi lebih kritikal dalam menerima setiap yang diperolehi, tetapi perlu ditanggapi dengan penuh hikmah. Inilah dinamakan 'kritis-hormat', kerana hormat datang dengan ilmu yang ada. Tanpa melakukan perubahan pemikiran ini, maka pelajar akan terus dibayangi pemikiran yang salah. Apabila wujud pemikiran yang benar, maka akan muncul cambahan-cambahan ilmu yang muncul daripada pemurnian ilmu yang diperolehi daripada Barat, seperti yang berlaku semasa zaman keemasan tamadun Islam, yang merombak pemikiran Tamadun Yunani dan Romawi.

 

 

Tujukan:

  1. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, Syed Muhammad Naquib al-Attas
  2. Artikel Seminar Ta'dib Islami, oleh Dr. Mohd Zaidi b. Ismail, Faham Akal dalam Islam dan Barat: Suatu Tinjauan Ringkas
  3. Falsafah Hidup, Prof Dr. Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)