Setiap minggu kita turun ke sekolah untuk menyampaikan kata-kata semangat kepada adik-adik di sana. Kadang-kadang, sampai ada 2-3 program yang kita hadiri pada satu-satu minggu. Apabila ini berlaku, kita seakan sudah menjadikan program sebagai rutin. Apabila ia menjadi satu rutin, ia bergerak di bawah minda separa sedar. Kita melakukan sesuatu tanpa berfikir lagi.
Perkara yang paling penting di dalam sesuatu program ialah ‘Objektif’. Tanpa objektif, kita kecelaruan. Tanpa objektif, kita tersimpang. Objektif perlu difahami sejak saat menerima program lagi. Maka bermula dari saat itu, ia perlu sentiasa membuku di hati. Ia perlu menjadi nukleus yang membentuk tindakan kita yang teratur. Sesaat kita terlupa, pada saat itulah kita tercicir.
Objektif yang dipegang dengan kuat akan melahirkan fasilitator yang patuh dan berdisiplin. Antara objektif utama kita menjadi fasilitator ialah untuk mendapat keredhoan Allah. Oleh itu, tindakan kita akan secara automatik terpacu daripada objektif murni itu. Bagaimana pula dengan objektif-objektif lain? Ia juga akan memacu kita ke arah suatu tindakan yang dapat dijadikan ‘Dakwah Bil-haal’. Fasilitator untuk program kepimpinan yang memegang objektif program di hatinya akan melakukan tindakan yang sesuai sebagai seorang pemimpin. Ia juga akan menjadi seorang pemimpin walaupun program sudah tamat.
Apabila objektif terpancar di hati, minda perlu memikirkan strategi untuk mencapai objektif tersebut. Minda yang berstrategi akan melahirkan fasilitator yang kritis dan kreatif. Maka akan terlahirlah modul-modul yang sesuai dengan objektif. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan asimilasi antara pengalaman dan ilmu. Ummat Islam masa kini mempunyai kurang strategi dalam menyampaikan mesej Islam. Kerap kali kita ditempelak akibat daripada perkara ini. Islam bukan sahaja ditolak, malah difitnah kerana ketidak seriusan kita merencana strategi dalam tindakan kita. Kita harapkan, perkara ini tidak akan berlaku kepada kita yang bergelar fasilitator muslim ini.
Objektif umum kita dalam setiap program adalah Dakwah dan Kaderisasi. Kita perlu menyampaikan agama kita di dalam program, dan kita perlu mencari dan melatih mereka ini yang bakal menggantikan tempat kita pada masa akan datang. Tanpa objektif yang jelas sebegini, kita akan hilang arah, dan setiap kali kita melihat ke sekeliling, hanya kita sahaja yang melakukan aktiviti sebegini. Kita mula merasakan keseorangan. Inilah yang menyebabkan ramainya pejuang yang tersungkur di jalan dakwah.
Buka Mata, Buka Minda, Bukalah hati…Mudah-mudahan kita dirahmati…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment