Monday, April 6, 2009

Evolusi Niat

Solat merupakan asas kepada seorang Muslim. Sejak mula-mula diturunkan, ia menjadi senjata ampuh untuk mempertahankan keimanan seseorang. Apabila kita mati nanti, solatlah antara perkara pertama yang akan ditimbang.

Selain daripada aspek ritualnya, solat membawa impak menyeluruh kepada setiap Muslim. Ia merupakan pembentuk Mindset yang membolehkan manusia merasakan hidup bertuhan. Konsep Ihsan sentiasa dipraktikkan jika seseorang itu menjaga solatnya. Itulah caranya solat menghindarkan manusia daripada Fahsya' dan Mungkar, seperti yang disebut di dalam Al-Quran.

Dari aspek lain, solat memberikan kita gambaran betapa pentingnya manusia mempunyai fokus yang tajam. Konsep niat di dalam solat, menggariskan kefokusan kita dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kita berniat seperti berikut:
1) Aku bersolat
2) Fardu Maghrib
3) Tiga Rakaat
4) Mengikut Imam
5) Kerana Allah

Perkara (1) menggambarkan bentuk aktiviti yang akan dilakukan. (2) menggambarkan perincian tentang aktiviti tersebut. (3) adalah cara perlaksanaannya. (4) adalah wasilahnya. dan (5) adalah gambaran besar atau visi atau matlamat jangka masa panjang kita...

Wednesday, March 25, 2009

Pengurusan masa

Islam sudah menggariskan kepada kita cara untuk menguruskan masa, supaya kehidupan kita sentiasa berorientasikan ketuhanan. Waktu yang kita ada dibahagikan kepada lima, pagi, tengahari, petang, awal malam, dan malam. Inilah asas pembahagian masa yang menjadi 'landmark' kalau kita mahu benar-benar menguruskan masa kita.

(Baca Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali)

Program di mata, Strategi di minda, Objektif di hati…

Setiap minggu kita turun ke sekolah untuk menyampaikan kata-kata semangat kepada adik-adik di sana. Kadang-kadang, sampai ada 2-3 program yang kita hadiri pada satu-satu minggu. Apabila ini berlaku, kita seakan sudah menjadikan program sebagai rutin. Apabila ia menjadi satu rutin, ia bergerak di bawah minda separa sedar. Kita melakukan sesuatu tanpa berfikir lagi.

Perkara yang paling penting di dalam sesuatu program ialah ‘Objektif’. Tanpa objektif, kita kecelaruan. Tanpa objektif, kita tersimpang. Objektif perlu difahami sejak saat menerima program lagi. Maka bermula dari saat itu, ia perlu sentiasa membuku di hati. Ia perlu menjadi nukleus yang membentuk tindakan kita yang teratur. Sesaat kita terlupa, pada saat itulah kita tercicir.

Objektif yang dipegang dengan kuat akan melahirkan fasilitator yang patuh dan berdisiplin. Antara objektif utama kita menjadi fasilitator ialah untuk mendapat keredhoan Allah. Oleh itu, tindakan kita akan secara automatik terpacu daripada objektif murni itu. Bagaimana pula dengan objektif-objektif lain? Ia juga akan memacu kita ke arah suatu tindakan yang dapat dijadikan ‘Dakwah Bil-haal’. Fasilitator untuk program kepimpinan yang memegang objektif program di hatinya akan melakukan tindakan yang sesuai sebagai seorang pemimpin. Ia juga akan menjadi seorang pemimpin walaupun program sudah tamat.

Apabila objektif terpancar di hati, minda perlu memikirkan strategi untuk mencapai objektif tersebut. Minda yang berstrategi akan melahirkan fasilitator yang kritis dan kreatif. Maka akan terlahirlah modul-modul yang sesuai dengan objektif. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan asimilasi antara pengalaman dan ilmu. Ummat Islam masa kini mempunyai kurang strategi dalam menyampaikan mesej Islam. Kerap kali kita ditempelak akibat daripada perkara ini. Islam bukan sahaja ditolak, malah difitnah kerana ketidak seriusan kita merencana strategi dalam tindakan kita. Kita harapkan, perkara ini tidak akan berlaku kepada kita yang bergelar fasilitator muslim ini.

Objektif umum kita dalam setiap program adalah Dakwah dan Kaderisasi. Kita perlu menyampaikan agama kita di dalam program, dan kita perlu mencari dan melatih mereka ini yang bakal menggantikan tempat kita pada masa akan datang. Tanpa objektif yang jelas sebegini, kita akan hilang arah, dan setiap kali kita melihat ke sekeliling, hanya kita sahaja yang melakukan aktiviti sebegini. Kita mula merasakan keseorangan. Inilah yang menyebabkan ramainya pejuang yang tersungkur di jalan dakwah.

Buka Mata, Buka Minda, Bukalah hati…Mudah-mudahan kita dirahmati…

Monday, February 23, 2009

Sekitar Gerak Kerja Dakwah

Sekitar Gerak Kerja Dakwah

Dalam sesebuah organisasi, terdapat beberapa aspek penting yang perlu dijaga untuk meneruskan kemandirian organisasi tersebut. Antaranya:
Memahami orientasi perjuangan;
Membudayakan Budaya organisasi;
Mengelak daripada kerosakan.

1) Memahami Orientasi Perjuangan
l Kenapa memilih Fasilitator?
l Peranan Fasilitator
 Fasilitator sebagai pendakwah
 Fasilitator sebagai abang/kakak
 Fasilitator sebagai pemimpin
 Fasilitator sebagai khalifah
 Fasilitator sebagai hamba
 Fasilitator sebagai sahabat
 Fasilitator sebagai pelajar
 Fasilitator sebagai anak
 Fasilitator sebagai ibu/ayah
 Fasilitator sebagai professional
l Peranan Fasilitator Team
 Fasiteam sebagai jemaah
 Fasiteam sebagai keluarga
 Fasiteam sebagai pasukan tentera

2) Membudayakan Budaya organisasi
l Budaya ilmu dan akhlak mulia;
l Budaya belajar, mengajar, dan diajar;
l Budaya kerohanian;
l Budaya Ukhuwwah;
l Budaya Syura, amal jamaie, dan kerja terancang;
l Budaya prihatin dan iltizam dengan isu semasa;
l Budaya jihad fi sabilillah.

3) Mengelak daripada kerosakan
l Terlibat dengan parti politik;
l Menyisihkan unsur-unsur pendidikan;
l Cuai terhadap penyatuan dan ikatan individu;
l Tidak menjaga badan jemaah dan mematuhinya;
l Mengenepikan prinsip syura dan nasihat;
l Banyak bertengkar, sedikit kerja;
l Menarik diri daripada jemaah orang Islam.

Thursday, August 21, 2008

Iklan LG Perfect!

Baru-baru ini, saya terlihat sebuah iklan telefon bimbit jenama LG Perfect di kaca TV. Kali pertama melihat iklan tersebut, hati saya terus jatuh cinta. Cinta pertama kepada telefon tersebut. Cinta kedua kepada iklan tersebut.

Kenapa saya saya telah jatuh cinta kepada iklan tersebut? Cinta pandang pertama. Saya pun tidak pasti pada mulanya kenapa. Tetapi setelah menonton iklan itu berulang kali, saya mula faham kenapa saya suka iklan tersebut.

Iklan tersebut begini:
Dengan seorang model lelaki tegap berdiri segak, cebisan-cebisan baju berwarna hitam dan berkilat berterbangan menyeliputi tubuhnya, membaluti tubuh lelaki itu dengan sempurna dan menjadi baju dan seluar yang 'fit', kemas, dan segak.
Selepas itu, tubuh lelaki tadi dihilangkan (dipecahkan) menjadi debu-debu berterbangan. Debu-debu tadi bercantum semula membentuk sebuah telefon bimbit. Kemudian, suara latar membuat kaitan produk tersebut dengan kesempurnaan.

Relevan
Kenapa saya sukakan iklan tersebut? Kerana iklan tersebut menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang peling hebat. Manusia menghampiri kesempurnaan. Manusia dijadikan kayu ukur unruk membandingkan kesempurnaan sesuatu ciptaan.

Kalaulah begitu, kenapa masih ada manusia yang membuat kesilapan dan kesalahan? Jawapannya ialah kerana merekalah yang memilih untuk menjadi begitu. Kesempurnaan manusia menyebabkan manusia boleh memilih sama ada dia mahu menjadi baik atau menjadi sebaliknya.

Oleh itu, setiap manusia perlu berasa beruntung kerana dilahirkan sebagai manusia. Mereka perlu berasa sayang kepada diri mereka kerana tiada makhluk lain yang dapat mengatasi kesempurnaan diri mereka. Saya selalu bertanya kepada para peserta program, siapakah manusia yang paling mereka sayangi? Bagi mereka yang faham maksud daya, mereka akan menjawab, "Diri sendiri".

Kadang-kadang saya bertanya kepada peserta, siapakah manusia yang paling baik di atas muka bumi ini? Siapakah manusia yang paling pandai di atas muka bumi ini? Apakah jawapan anda?

Jawapan yang saya mahu dengar ialah, "Diri sendiri". Ini kerana jika kita katakan orang lain adalah orang terbaikkah, orang terpandaikah, orang apa kah, semuanya adalah subjektif. Paling tidak, ia betul hanya pada masa-masa tertentu sahaja. Cuba lihat kepada beberapa pelajar pintar yang sekarang menjadi tidak menentu. Bolehkah kita katakan bahawa dia adalah yang terbaik?

Jawapannya tidak. Daripada kita membuang masa mengatakan orang lain adalah terbaik dan sebagainya, lebih baik kita mengatakannya kepada diri kita sendiri. Biarlah orang lain tidak mengiktiraf atau tidak, yang penting kita sudah membina suatu peluang kepada diri kita untuk bergerak ke arah itu.

Kata ahli motivasi terkenal, Dr. H. M. Tuah, "Untuk menjadi seorang yang baik dan untuk menjadi sebaliknya adalah sama susahnya." Jadi, buat apa kita mahu menjadi seorang yang tidak baik jika kita boleh memilih untuk menjadi seorang yang baik?

Thursday, April 10, 2008

Mahasiswa sebagai Fasilitator 4

Jenis Kelompok (Buku 'Fasilitator Kelompok Kecil')

Assalamualaikum...Venekam...Ni Hao...

Hari ini saya nak berkongsi pembacaan saya tentang Jenis Kelompok Kecil ni. Dalam bidang kefasilitatoran, pemahaman macam ni penting, sama dengan perkara yang saya tulis sebelum ni. Ini kerana, jika anda faham tentang pembahagian ini, anda akan jelas tugas sebenar anda dalam bidang kefasilitatoran ini, bagaimana anda mahu bawa diri anda, dan bagaimana anda akan teruskan sesi-sesi follow-up anda, sama ada perlu anda teruskan atau perlu diserahkan kepada pihak lain.

Penerangan ini perlu dikaitkan dengan tulisan saya yang lepas.

Kelompok asas ialah Kelompok Bimbingan. Kelompok ini sama macam 'Mass', di mana ahlinya tidak terhad. Di dalam kelompok ini, perkongsian jarang berlaku, atau hanya disentuh secara 'superficial' sahaja. Kelompok ini dipimpin oleh fasilitator terlatih, ataupun kaunselor.

Kelompok kedua, Kelompok Sokongan atau Bantu Diri atau Tugas. Kumpulan ini terdiri daripada 10-20 orang ahli. Kelompok ini diharap akan dapat berkongsi masalah peribadi biasa dan berkongsi maklumat bersama. Mereka juga akan memberikan sokongan sesama sendiri. Bagaimanapun, perkongsian secara mendalam perlu dielakkan agar ahli tidak merasa dikhianati.
Ia dipimpin oleh kaunselor atau fasilitator terlatih.

Kelompok ketiga, Kelompok Kaunseling. Bilangan ahli: 6-8 orang. Perkongsian ahli kelompok ini adalah lebih mendalam kerana kukuhnya kepercayaan sesama sendiri. Matlamat kumpulan ini adalah untuk meningkatkan kesedaan dan mengatasi masalah individu. Sesi bersama kumpulan ini akan memerlukan pengendali menyatakan matlamat setiap sesi itu. Kelompok ini selalunya dikendaliken oleh kaunselor atau psikologis.

Dalam Faciteam UIAM Kuantan yang menggunapakai sistem Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), ahli kumpulan ini sekitar 6-12 orang sahaja. Ia lebih kepada percantuman matlamat Kelompok Sokongan dan Kelompok Kaunseling. Fasilitator perlu memerhatikan ahli, sama ada perlu diteruskan ke peringkat kaunseling, atau hanya berhenti di peringkat sokongan. Fasilitator boleh bertindak sebagai kaunselor, jika mampu, sebelum menyerahkannya kepada kaunselor yang layak. Tetapi, jika dikhuatiri perkara ini akan memburukkan lagi keadaan, maka sebaiknya jangan dicuba. Fasilitator perlu memberitahu kepada ahli tersebut jika masalahnya akan dirujuk kepada mana-mana kaunselor, khuatir bahawa dia akan berasa dikhianati jika dia tidak diberitahu dahulu.

Peringkat terakhir ialah Kelompok Terapi. Kelompok ini adalah lebih kecil, memandangkan masalah mereka adalah lebih spesifik dan mendalam. Bilangan yang dicadangkan ialah 4-6 orang. Matlamatnya ialah penyembuhan dan pemulihan. Biasanya, sesi kumpulan ini mengambil masa yang lama. Kumpulan ini dipimpin oleh psikiatris atau psikoterapis.

Maklumat ini berguna kepada fasilitator supaya mereka akan lebih memahami tugas mereka, dan memastikan matlamat mereka tercapai..

Selamat Berbakti!

Wednesday, April 9, 2008

Mahasiswa sebagai Fasilitator 3

Peringkat-peringkat Pemudahcara

Kalau nak dilihat, memang banyak peringkat yang dihasilkan mengikut kesesuaian organisasi-organisasi tertentu. Biarlah saya berikan pemeringkatan ini berpandukan pendapat saya sendiri.

Pembimbing Rakan Sebaya adalah yang paling asas. PRS tidak memerlukan apa-apa teknik yang kritikal. PRS hanya memerlukan teknik mendengar yang baik. Sebab itu, PRS dijadikan asas kepada sistem persekolahan sekarang. Mungkin boleh dikembangkan ke peringkat IPT selepas ini.

Fasilitator adalah peringkat kedua. Fasilitator pula boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat, bergantung kepada kumpulan sasaran itu. Ada fasilitator untuk kumpulan asas, kumpulan bermasalah, kumpulan perkongsian, dan macam-macam lagi. Ia mengikut kamampuan fasilitator itu sendiri dalam mengendalikan kumpulan terbabit. Fasilitator memerlukan kemahiran mendengar dan menguruskan kumpulan supaya kumpulan bergerak ke satu arah yang disepakati bersama. Fasilitator akan terus memimpin kumpulannya sehingga ke satu masa yang ditetapkan, contohnya sampai ke hari peperiksaan SPM.

Mentor adalah peringkat yang lebih tinggi. Mentor selalunya adalah lanjutan kepada kefasilitatoran kumpulan tertentu. Selepas mengadakan aktiviti dengan kumpulan kecil, fasilitator akan memastikan individu-individu yang paling berpotensi untuk terus menerima latihan khusus daripadanya. Bidang ini masih belum dieksploitasi oleh banyak fasilitator. Mentor ini akan terus memimpin individu tadi sampai dia berjaya dan lebih berjaya daripada mentornya. Mentor memerlukan kemahiran yang tinggi, dari segenap aspek, termasuklah peribadi yang baik, ilmu yang tinggi, dan penampilan yang meyakinkan.

Kaunselor pula memainkan peranaan apabila peserta itu mempunyai masalah spesifik yang perlu diatasi. Contohnya, jika peserta itu mempunyai masalah dengan kekasihnya, keluarganya, atau dengan dirinya sendiri. Kaunselor memerlukan sijil yang khusus. Tetapi tidak mustahil untuk memiliki teknik kaunseling yang baik apabila berhadapan dengan pelajar bermasalah. Selalunya fasilitator akan merujuk pelajar yang mempunyai masalah ke kaunselor untuk tindakan lanjut. Kaunselor akan mengendalikan kumpulan yang kecil, 2-3 orang sahaja. Dalam situasi ini, teknik mendengar dan bercakap perlulah seimbang.

Kesimpulannya, fasilitator mahasiswa perlu memainkan semua peranan di atas, selagi mampu. Oleh itu, pembacaan, pembelajaran, dan pengaplikasian ilmu perlu dibuat oleh semua organisasi fasilitator mahasiswa agara matlamat menghasilkan mahasiswa berbakti kepada masyarakat akan berjaya.