Showing posts with label Kepemimpinan. Show all posts
Showing posts with label Kepemimpinan. Show all posts

Thursday, August 21, 2008

Iklan LG Perfect!

Baru-baru ini, saya terlihat sebuah iklan telefon bimbit jenama LG Perfect di kaca TV. Kali pertama melihat iklan tersebut, hati saya terus jatuh cinta. Cinta pertama kepada telefon tersebut. Cinta kedua kepada iklan tersebut.

Kenapa saya saya telah jatuh cinta kepada iklan tersebut? Cinta pandang pertama. Saya pun tidak pasti pada mulanya kenapa. Tetapi setelah menonton iklan itu berulang kali, saya mula faham kenapa saya suka iklan tersebut.

Iklan tersebut begini:
Dengan seorang model lelaki tegap berdiri segak, cebisan-cebisan baju berwarna hitam dan berkilat berterbangan menyeliputi tubuhnya, membaluti tubuh lelaki itu dengan sempurna dan menjadi baju dan seluar yang 'fit', kemas, dan segak.
Selepas itu, tubuh lelaki tadi dihilangkan (dipecahkan) menjadi debu-debu berterbangan. Debu-debu tadi bercantum semula membentuk sebuah telefon bimbit. Kemudian, suara latar membuat kaitan produk tersebut dengan kesempurnaan.

Relevan
Kenapa saya sukakan iklan tersebut? Kerana iklan tersebut menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang peling hebat. Manusia menghampiri kesempurnaan. Manusia dijadikan kayu ukur unruk membandingkan kesempurnaan sesuatu ciptaan.

Kalaulah begitu, kenapa masih ada manusia yang membuat kesilapan dan kesalahan? Jawapannya ialah kerana merekalah yang memilih untuk menjadi begitu. Kesempurnaan manusia menyebabkan manusia boleh memilih sama ada dia mahu menjadi baik atau menjadi sebaliknya.

Oleh itu, setiap manusia perlu berasa beruntung kerana dilahirkan sebagai manusia. Mereka perlu berasa sayang kepada diri mereka kerana tiada makhluk lain yang dapat mengatasi kesempurnaan diri mereka. Saya selalu bertanya kepada para peserta program, siapakah manusia yang paling mereka sayangi? Bagi mereka yang faham maksud daya, mereka akan menjawab, "Diri sendiri".

Kadang-kadang saya bertanya kepada peserta, siapakah manusia yang paling baik di atas muka bumi ini? Siapakah manusia yang paling pandai di atas muka bumi ini? Apakah jawapan anda?

Jawapan yang saya mahu dengar ialah, "Diri sendiri". Ini kerana jika kita katakan orang lain adalah orang terbaikkah, orang terpandaikah, orang apa kah, semuanya adalah subjektif. Paling tidak, ia betul hanya pada masa-masa tertentu sahaja. Cuba lihat kepada beberapa pelajar pintar yang sekarang menjadi tidak menentu. Bolehkah kita katakan bahawa dia adalah yang terbaik?

Jawapannya tidak. Daripada kita membuang masa mengatakan orang lain adalah terbaik dan sebagainya, lebih baik kita mengatakannya kepada diri kita sendiri. Biarlah orang lain tidak mengiktiraf atau tidak, yang penting kita sudah membina suatu peluang kepada diri kita untuk bergerak ke arah itu.

Kata ahli motivasi terkenal, Dr. H. M. Tuah, "Untuk menjadi seorang yang baik dan untuk menjadi sebaliknya adalah sama susahnya." Jadi, buat apa kita mahu menjadi seorang yang tidak baik jika kita boleh memilih untuk menjadi seorang yang baik?

Monday, April 7, 2008

Mengurus masa

Banyak persoalan yang timbul tentang cara membahagikan masa dengan baik. Semuanya kerana, terlalu banyak yang perlu dilakukan, sehinggakan manusia takut untuk mengambil komitmen yang lain. Bagi saya yang daif ini, saya lebih suka merujuk kepada diri sendiri dan mengambil pengajaran daripada orang lain yang sudah berjaya. Adapun diri saya sendiri masih belum cukup berjaya, walaupun sudah agak banyak komitmen yang saya beri kepada masyarakat pada masa ini. Pengalaman "orang lama" menjadi sumber motivasi untuk terus melangkah.

Segalanya bermula dengan minda yang terbuka. Minda anda perlu mempunyai lintasan bahawa anda mampu mengurus masa dengan baik. Bayangkan kejayaan tersebut. Imaginasi yang terbina di dalam minda anda akan menentukan sama ada anda akan berjaya atau tidak. Maka, anda perlu mempunyai Imaginasi yang Cemerlang untuk membuka pintu kejayaan anda.


Kemudian, pastikan anda yakin dan jujur kepada diri anda. Anda perlu lakukan koreksi diri dan kenalpasti aktiviti anda seharian. Apa yang anda buat pada hari ini? Apa yang anda buat sebentar tadi? Apa yang anda buat pada pukul 7 pagi tadi?

Catatkan aktiviti anda dengan jujur. Catatan perlu dibuat sekerap mungkin. Ini dapat memberikan gambaran yang jelas tentang cara hidup anda seharian. Selangan masa yang dicadangkan ialah setiap 15 minit.

Anda perlu teruskan mencatat tindakan anda seharian selama beberapa minggu untuk mendapatkan gambaran sebenar, siapa diri anda dan bagaimana anda menggunakan masa anda.

Seterusnya, anda perlu nilai semula corak hidup anda sepanjang sehari. Semakan ini bertujuan mengenal pasti ruangan yang akan diperbaiki dan ruangan yang tidak dapat diubah (tidur, makan, sekolah). Lakukan perubahan sedikit demi sedikit. Anda akan dapati diri anda sedang berubah. Kemudian, jadikannya sebagai tabiat anda.

Semak semula cara penggunaan masa anda apabila anda mahu melakukan perubahan semula. Bandingkan dengan cara penggunaan yang lama. Inilah caranya untuk menilai pengunaan masa anda dengan lebih objektif. Wallahua'alam...

Bagaimana Menjadi Juara?

Kalaulah mahu didefinisikan, pasti banyak defini juara yang akan diberikan oleh manusia yang berbeza. Ada yang katakan dengan cemerlang dalam matapelajaran, maka itulah juara. Ada juga yang mengatakan dengan banyak penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan pada masa yang sama tidak mengabaikan pelajaran, maka itulah juara. Ada juga yang mengatakan dengan mendapat apa yang diingininya, maka itulah juara.

Apapun definisi juara yang anda mahu berikan, itu tidak menjadi masalah. Yang penting, kita semua mahu menjadi juara.

1) Menentukan matlamat
2) Menentukan kekuatan dan kelemahan
3) Menentukan strategi
4) Melaksanakan strategi
5) Membuat semakan semula
6) Menjadi juara

Mudah sahaja. Asalkan Minda anda katakan "ya!", maka anda sudah melangkah ke alam juara.

Sunday, April 6, 2008

Angan-angan Mat Jenin

Siapa kata Mat Jenin bersalah?

Kalau kita lihat kembali, Mat Jenin itu melambangkan seorang Melayu yang bercita-cita menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan. Pemikiran futuristiknya yang optimistik membawa nama buruk kepada dirinya. Dia bukanlah seorang perompak atau perasuah. Dia adalah seorang pemikir, tidak kiralah apa juga kritikan orang kepadanya.

Daripada jualan buah kelapa, boleh membeli ayam. Ayam jika diternak banyak-banyak dapat membeli kambing. Akhirnya, boleh beli kerbau. Dan seterusnya..

Bukankah bagus kalau berfikiran begini? Ada hipotesis yang mengatakan bangsa penjajahlah yang mematikan watak dan pemikiran Mat Jenin itu. Mereka tidak mahu Mat Jenin dan Orang Melayu berfikiran terlalu jauh, kerana demikian akan menjejaskan penguasaan mereka. Akhirnya mereka mengejek-ejek dan mempersendakan pemikiran Mat Jenin itu.

Kesannya terkena kepada seluruh Bangsa Melayu dan Malaysia. Apabila kita memasang sedikit cita-cita, kita dikatakan berangan. Jika kita mahu bersuara, kita dipersendakan. Jika kita ingin mengatakan sesuatu, kita diperli dan dipermainkan, kononnya kita tidak layak untuk berbuat demikian. Akhirnya kita menjadi lemah dan takut. Kita tidak berani untuk memasang cita-cita atau angan-angan. Kita tidak berani untuk meletakkan komitmen kepada apa yang kita inginkan. Kitalah yang rugi akhirnya.

Mungkinkah Mat Jenin mati kerana terjatuh pokok kelapa? Tak mungkin. Kerana siapakah yang akan menceritakan angan-angannya itu kalau dia sudah mati? Mungkin kerana dengkikan kepada Mat Jenin, Mat Saleh menaburkan fitnah terhadapnya. Dan kita semua turut sama mentertawakan diri sendiri.

Mat Jenin tidak bersalah. Kitalah yang bersalah!

"Orang pertama yang mentertawakan diri kita ialah diri kita sendiri. Orang lain akan ketawa jika kita ketawa, tetapi jika kita tegas dengan diri kita, orang lain akan terdiam."